SOALAN LAZIM PEMEGANG KAD

Seluruh industri akan beralih daripada penggunaan kad tandatangan kepada kad PIN mulai pertengahan tahun 2015. Tandatangan akan dihentikan penggunaannya secara berperingkat-peringkat apabila kad dan terminal dinaik taraf. Apabila anda menerima kad PIN yang baharu, anda hendaklah memasukkan PIN apabila dikehendaki, dan bukannya menurunkan tandatangan semasa membuat pembayaran di terminal tempat jualan di Malaysia. Bermula 1 Julai 2017, tandatangan tidak lagi diterima apabila anda menggunakan kad untuk membuat pembayaran dalam negara.

Apakah PIN?

PIN, atau Nombor Pengenalan Peribadi, ialah kod rahsia yang diberikan kepada pemegang kad atau dipilih oleh mereka bagi membuktikan mereka ialah pemilik sah kad pembayaran tersebut. PIN untuk kad Malaysia mempunyai enam digit. PIN anda mestilah sentiasa dirahsiakan dan jangan sekali-kali dicatatkan di mana-mana.

Mengapakah PIN lebih selamat daripada tandatangan?

Penggunaan PIN boleh membantu melindungi pengguna daripada penipuan akibat kehilangan atau kecurian kad kerana kedua-dua kad dan PIN diperlukan untuk membuat pembayaran. Oleh itu, anda perlu sentiasa merahsiakan PIN anda.

Mengapakah saya perlu mendapatkan kad baharu untuk menggunakan PIN?

Anda akan diberikan kad baharu kerana kad semasa anda tidak menyokong PIN untuk membolehkan pembayaran dibuat.

Bagaimanakah saya boleh mendapatkan PIN?

Pengeluar kad sepatutnya menghantarkan kad baharu kepada anda atau mengkehendaki anda memilih PIN baharu untuk kad PIN baharu anda. Hubungi pengeluar kad anda untuk maklumat lanjut.

Bolehkah saya menukar PIN saya?

Ya. Ikuti arahan yang disertakan oleh pengeluar kad. Hubungi pengeluar kad anda untuk maklumat lanjut. 

Bolehkah saya terus menggunakan kad tandatangan saya selepas menerima kad PIN?

Tidak boleh. Semua pengeluar kad di Malaysia adalah dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk menaik tarafkan kad pembayaran kepada PIN.

Pengeluar kad kredit anda akan menghantar kad kredit PIN baharu kepada anda sebelum penghujung 2016. Kad kredit tandatangan lama anda akan ditolak selepas 3 bulan pengeluar kad kredit anda telah menghantar kad PIN baharu.

Bagi kad debit PIN baharu, pengeluar kad anda akan sama ada meminta anda mengunjungi cawangan terdekat untuk mengambil kad PIN baharu, atau menghantarnya kepada anda. Anda mesti berhenti menggunakan kad debit tandatangan lama anda sebelum penghujung 2016, atau ianya mungkin ditolak.

Adakah PIN yang saya gunakan untuk membuat pembelian sama dengan PIN yang digunakan di ATM?

Ya. Setiap kad hanya mempunyai satu PIN yang boleh digunakan untuk pengeluaran wang tunai di ATM dan pembelian di tempat jualan.

Apakah yang akan berlaku jika saya memasukkan PIN yang salah?

Anda dibenarkan untuk membuat beberapa percubaan sebelum PIN anda disekat. Percubaan PIN yang terhad melindungi anda daripada kemungkinan kad anda digunakan oleh penjenayah. Jika PIN anda disekat, hubungi pengeluar kad anda untuk mendapatkan atau memilih sendiri PIN baharu.

Apakah yang akan berlaku sekiranya saya terlupa PIN saya?

Apabila anda menggunakan kad PIN baharu sebelum 1 Julai 2017, tandatangan anda masih boleh digunakan jika anda terlupa PIN semasa membuat transaksi di tempat jualan. Peruncit boleh membantu anda menyempurnakan transaksi dengan menggunakan tandatangan. Selepas 1 Julai 2017, anda tidak lagi dibenarkan menggunakan tandatangan di terminal tempat jualan di Malaysia jika anda tidak mengetahui PIN anda.

Sebagai langkah keselamatan, anda mesti memasukkan PIN anda di dispenser petrol automatik dan di terminal lain tanpa pengendali jika anda diminta memasukkan PIN, walaupun sebelum 1 Julai 2017. Jika anda terlupa PIN anda, anda tidak akan dapat menggunakan kad di terminal tanpa pengendali ini.

Jika anda terlupa PIN, hubungi pengeluar kad anda untuk mendapatkan atau memilih sendiri PIN baharu.

Bolehkah saya menggunakan kad PIN untuk transaksi tanpa sentuh?

Ya. Jika kad tanpa sentuh anda mempunyai PIN, terminal akan meminta PIN selepas kad anda diimbas pada pembaca tanpa sentuh untuk amaun transaksi yang melebihi had tertentu. Walau bagaimanapun, transaksi tanpa sentuh yang bernilai kecil tidak memerlukan PIN atau tandatangan.

Bagaimanakah caranya untuk saya mengetahui bila PIN diperlukan?

Anda hanya perlu mengikuti arahan pada terminal. Terminal pembayaran akan menentukan dan meminta PIN jika diperlukan.

Apakah yang akan berlaku jika saya menggunakan kad PIN baharu di terminal yang tidak menyokong PIN?

Dalam kes ini, terminal akan memproses kad PIN baharu anda tanpa meminta PIN dan tandatangan anda perlu disahkan.

Adakah PIN digunakan untuk transaksi kad melalui Internet atau telefon?

Tidak. PIN yang anda gunakan di terminal tempat jualan atau mesin ATM sama sekali tidak boleh didedahkan di Internet atau diberikan melalui telefon. Kad PIN anda tidak akan memberi kesan atau mengubah transaksi yang dibuat melalui Internet atau telefon.

Adakah saya perlu memasukkan PIN setiap kali saya menggunakan kad saya di Malaysia?

Tidak, bukan semua transaksi di tempat jualan memerlukan PIN:

  • Transaksi tanpa sentuh yang bernilai kecil tidak memerlukan PIN.
  • Transaksi yang dijalankan di terminal yang tidak menyokong PIN masih akan menggunakan tandatangan.
Adakah saya perlu memasukkan PIN setiap kali saya menggunakan kad di kios atau terminal layan diri di Malaysia?

Jika kios atau terminal layan diri tersebut menyokong PIN, ia akan meminta PIN apabila anda memasukkan kad ke dalam terminal. Jika terminal meminta PIN, anda perlu tahu PIN anda dan mesti memasukkan PIN tersebut untuk menyempurnakan transaksi. Jika anda tidak tahu PIN anda, atau anda tidak mempunyai kad dengan PIN, anda tidak boleh menggunakan kad anda di kios atau terminal layan diri yang menyokong PIN. Contoh terminal layan diri ialah terminal pembayaran pada pam layan diri di stesen minyak.

Sehingga 1 Julai 2017, anda masih boleh menandatangani resit di terminal berjaga jika anda tidak tahu PIN anda. Walau bagaimanapun, langkah ini tidak boleh dilakukan di terminal layan diri kerana ianya tidak berjaga, iaitu tiada juruwang atau pengendali untuk mengesahkan tandatangan anda. Oleh itu, anda perlu sentiasa memasukkan PIN jika terminal layan diri itu menyokong PIN.

Jika anda tidak tahu PIN anda, atau anda tidak mempunyai kad dengan PIN semasa menggunakan pam layan diri di stesen minyak, anda boleh masuk ke dalam kedai untuk membayar dan menandatangani resit di terminal berjaga.

Adakah saya perlu memasukkan PIN apabila saya menggunakan kad di luar negara?

Jika anda telah menerima kad PIN yang baharu dan akan ke luar negara, pastikan anda mempunyai PIN untuk kad anda sebelum meninggalkan Malaysia. Negara-negara yang belum berhijrah ke PIN akan masih memerlukan tandatangan anda sebagai pengesahan pembayaran kad. Namun begitu, sesetengah negara akan memerlukan PIN untuk menyempurnakan transaksi pembayaran kerana kad anda disokong oleh system PIN. Sekiranya anda masih belum mempunyai PIN untuk kad PIN anda, ikuti arahan yang telah diberikan oleh pengeluar kad anda tentang cara-cara untuk mendapatkan PIN, atau hubungi pengeluar kad anda untuk keterangan lanjut.

Malaysia telahpun beralih kepada PIN 6 digit. Adakah saya akan menghadapi masalah apabila menggunakan kad pembayaran PIN saya di negara-negara yang menggunakan PIN 4 digit?

Peraturan skim kad antarabangsa memerlukan kesemua terminal menerima PIN 4 hingga 6 digit secara global. Anda tidak sepatutnya menghadapi apa-apa isu apabila menggunakan kad PIN 6 digit anda di luar negara. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah di mana-mana terminal luar negara yang tidak mematuhi peraturan skim, anda boleh memohon peniaga untuk membenarkan anda menyempurnakan transaksi tersebut menggunakan tandatangan, atau anda boleh memilih kaedah pembayaran yang lain sekiranya peniaga enggan membenarkan penggunaan tandatangan. Untuk apa-apa kesulitan dengan terminal luar negara, sila hubungi bank pengeluar anda untuk bantuan.

Bagaimanakah saya dapat memastikan PIN saya selamat?

Penting bagi anda untuk merahsiakan PIN supaya kad anda dilindungi daripada penipuan akibat kehilangan dan kecurian. Pastikan PIN anda tidak mudah diteka dengan mengelakkan penggunaan nombor yang boleh dikaitkan dengan anda seperti tarikh peribadi yang penting (contohnya, hari lahir atau hari ulang tahun anda), nombor telefon atau nombor lesen pemandu. Antara langkah-langkah lain bagi memastikan keselamatan PIN anda termasuk:

  • tidak menyimpan rekod bertulis tentang PIN anda;
  • tidak membenarkan orang lain melihat PIN anda semasa anda memasukkannya atau semasa ia dipaparkan;
  • tidak menyimpan PIN anda dalam bentuk yang mudah dikenal pasti sebagai PIN;
  • tidak mendedahkan PIN anda kepada sesiapa pun (termasuk pihak berkuasa, ahli keluarga atau pasangan);
  • tidak mendedahkan PIN anda akibat kecuaian atau kelalaian;
  • memaklumkan pengeluar kad dengan segera jika anda menyedari bahawa PIN anda telah diketahui oleh orang lain; dan
  • memastikan mana-mana pemegang kad tambahan yang boleh mengakses mana-mana Akaun Kad anda dengan menggunakan PIN supaya memastikan kerahsiaan PIN mereka dengan cara yang dinyatakan di atas.