SOALAN LAZIM PENIAGA

Seluruh industri akan menggunakan PIN di tempat jualan di seluruh Malaysia sebagai langkah pengesahan pelanggan bagi semua kad kredit, debit, caj dan prabayar Malaysia bermula pertengahan tahun 2015 kerana kad tandatangan akan digantikan dengan kad PIN. Bermula 1 Julai 2017, tandatangan tidak lagi diterima jika kad pembayaran Malaysia digunakan untuk transaksi dalam negara.

Apakah PIN?

PIN, atau Nombor Pengenalan Peribadi ialah kod rahsia yang diberikan kepada pelanggan atau dipilih oleh mereka bagi membuktikan mereka ialah pemilik sah kad pembayaran tersebut. PIN untuk kad Malaysia mempunyai enam digit.

Mengapakah PIN lebih selamat daripada tandatangan?

Penggunaan PIN boleh membantu melindungi pelanggan daripada penipuan akibat kehilangan atau kecurian kad kerana kedua-dua kad dan PIN diperlukan untuk membuat pembayaran. Oleh itu, pelanggan perlu sentiasa merahsiakan PIN mereka.

Perlukah saya menukar terminal tempat jualan?

Ya. Perisian terminal tempat jualan anda perlu dikemas kini bagi membolehkan penggunaan PIN. Pengemaskinian ini perlu disempurnakan sebelum 1 Januari 2017.

Adakah pelanggan akan menerima kad baharu?

Ya, semua pelanggan akan diberikan kad baharu kerana kad semasa tidak menyokong PIN untuk pembayaran. Pelanggan yang belum menerima kad PIN baharu boleh terus membayar menggunakan tandatangan. Semua kad kredit, debit, caj dan prabayar di Malaysia perlu ditukar sebelum 1 Januari 2017.

Apakah yang akan berlaku jika terminal saya belum dikemas kini dan pelanggan menggunakan kad PIN?

Terminal akan memproses kad PIN baharu tanpa meminta PIN sama seperti kad tandatangan sekarang, dan tandatangan pelanggan perlu disahkan.

Bolehkah pelanggan meminta saya memasukkan PIN untuk mereka?

Tidak. Atas sebab keselamatan, PIN pelanggan sama sekali tidak boleh dikongsi dengan sesiapa pun, termasuk kakitangan pengeluar kad.

Apakah yang akan berlaku jika pelanggan terlupa PIN mereka?

Sebelum 1 Julai 2017, tandatangan masih dibenarkan jika pelanggan terlupa PIN. Ini dipanggil pintasan PIN.

Pintasan PIN diaktifkan dengan menekan OK atau Enter, bergantung pada terminal, dan bukannya selepas PIN dimasukkan. Bantu pelanggan untuk menggunakan pintasan PIN hanya jika mereka terlupa PIN. Pintasan PIN tidak dibenarkan untuk transaksi tanpa sentuh. Bagi memintas PIN, mulakan transaksi baru dengan memasukkan kad.

Selepas 1 Julai 2017, pintasan PIN tidak lagi dibenarkan untuk kad Malaysia dan ia akan ditolak secara automatik jika PIN diminta tetapi tidak dimasukkan.

Bagaimanakah jika pelanggan belum menerima kad PIN baharu?

Sebelum 1 Julai 2017, terminal yang telah dinaik taraf untuk PIN akan terus menerima kad tandatangan dan tidak akan meminta PIN, tetapi tandatangan pelanggan masih perlu disahkan. Selepas 1 Julai 2017, kad tandatangan tidak lagi dibenarkan untuk digunakan di Malaysia.

Apakah yang akan berlaku jika pelanggan dari luar negara tidak mempunyai kad PIN?

Tandatangan masih sah digunakan bagi pelanggan dari luar negara.

Adakah semua transaksi di terminal tempat jualan memerlukan PIN?

Tidak, bukan semua transaksi di tempat jualan memerlukan PIN:

  • Amaun transaksi tanpa sentuh di bawah had tertentu tidak memerlukan PIN.
  • Transaksi antarabangsa (dengan kad yang dikeluarkan oleh bank di luar Malaysia) boleh diluluskan dengan tandatangan dan tidak memerlukan PIN.
Adakah pelanggan masih boleh melaksanakan transaksi tanpa sentuh?

Ya. Jika kad tanpa sentuh tersebut mempunyai PIN, terminal akan meminta PIN selepas kad diimbas pada pembaca tanpa sentuh bagi amaun transaksi yang melebihi had tertentu. Walau bagaimanapun, transaksi tanpa sentuh yang bernilai kecil tidak memerlukan PIN atau tandatangan.

Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui jika PIN diperlukan?

Anda hanya perlu mengikuti arahan pada terminal. Terminal pembayaran yang membaca kad akan menentukan dan meminta PIN jika diperlukan.

Bagaimanakah jika pelanggan tidak diminta untuk memasukkan PIN?

Pelanggan akan diminta menandatangani resit bagi mengesahkan transaksi. Sila ambil perhatian bahawa amaun transaksi tanpa sentuh di bawah had tertentu tidak memerlukan PIN atau tandatangan.

Jika saya mengendalikan kafe, bar atau restoran, apakah yang patut saya lakukan?

Transaksi PIN memerlukan pelanggan untuk membuat pembayaran di tempat terletaknya terminal. Bagi memudahkan transaksi, anda patut menaik taraf terminal talian tetap kepada terminal mudah alih.

Adakah PIN digunakan untuk transaksi kad melalui Internet atau telefon?

Tidak. PIN yang digunakan oleh pelanggan pada terminal tempat jualan atau mesin ATM sama sekali tidak boleh didedahkan di Internet atau diberikan melalui telefon.

Bagaimanakah pelanggan boleh menambah tip/ganjaran di restoran?

Kebanyakan terminal di restoran sepatutnya memaparkan amaun yang perlu dibayar oleh pelanggan dan bertanya jika pelanggan ingin menambah tip/ganjaran sebelum meminta PIN. Pelanggan hanya perlu mengikuti arahan yang dipaparkan pada skrin.

Proses semasa untuk pembayaran menggunakan kad di kedai makanan & minuman yang masih memilih pengesahan melalui tandatangan:
  1. Kad pembayaran dimasukkan ke dalam terminal
  2. Terminal meminta untuk PIN dimasukkan
  3. Operator menekan butang OK untuk memintas penggunaan PIN, tanpa membenarkan pelanggan untuk memasukkan PIN terlebih dahulu
  4. Pelanggan perlu menandatangani resit transaksi
Peniaga makanan & minuman perlu mengambil tindakan untuk menggalakkan penggunaan PIN.
JIKA TERMINAL MEMINTA UNTUK PIN DIMASUKKAN, KAD PEMBAYARAN MEMERLUKAN PIN BAGI MENGESAHKAN PEMEGANG KAD
MINTA PELANGGAN UNTUK PERGI KE KAUNTER ATAU BAWA TERMINAL KE MEJA UNTUK PELANGGAN MEMASUKKAN PIN
JIKA PELANGGAN TIDAK TAHU PIN MEREKA, NASIHATI PELANGGAN UNTUK MENGHUBUNGI BANK MEREKA BAGI MENDAPATKAN PIN

Sebab-sebab pemintasan penggunaan PIN tidak digalakkan
  • PIN melindungi kad yang hilang atau dicuri daripada sebarang percubaan untuk menipu.
  • Bank-bank Malaysia akan menolak transaksi menggunakan tandatangan mulai 1 Julai 2017
Izinkan pelanggan untuk memasukkan PIN mulai sekarang bagi memudahkan penggunaan PIN dan mengurangkan gangguan pada 1 Julai 2017. Anda boleh memohon untuk terminal mudah alih tanpa wayar daripada pemilik terminal anda bagi membolehkan operasi pembayaran dilakukan di meja. Tanpa terminal tanpa wayar, anda perlu meminta pelanggan untuk pergi ke terminal bagi memasukkan PIN mereka.
Proses semasa untuk pra-kebenaran menggunakan kad di hotel-hotel yang tidak menggalakkan penggunaan PIN:
  1. Kad pembayaran dimasukkan ke dalam terminal
  2. Terminal meminta untuk PIN dimasukkan
  3. Operator menekan butang OK untuk memintas penggunaan PIN, 
 tanpa membenarkan tetamu hotel untuk memasukkan PIN terlebih dahulu
  4. Tandatangan pada resit pra-kebenaran mungkin atau mungkin tidak diminta, mengikut amalan yang telah ditetapkan
Hotel-hotel perlu mengambil tindakan untuk menggalakkan penggunaan PIN...
JIKA TERMINAL MEMINTA UNTUK PIN DIMASUKKAN, KAD PEMBAYARAN MEMERLUKAN PIN BAGI MENGESAHKAN PEMEGANG KAD
KATAKAN KEPADA TETAMU HOTEL: “SILA MASUKKAN PIN ANDA”
JIKA TETAMU HOTEL TIDAK TAHU PIN MEREKA, NASIHATI TETAMU HOTEL UNTUK MENGHUBUNGI BANK MEREKA BAGI MENDAPATKAN PIN

Hotel-hotel perlu mengemaskini prosedur-prosedur untuk pra-kebenaran sewaktu pendaftaran masuk
  1. PIN melindungi kad yang hilang atau dicuri daripada sebarang percubaan untuk menipu, termasuk PRA-KEBENARAN
  2. PIN yang dimasukkan untuk pra-kebenaran apabila seseorang tetamu hotel mendaftar masuk, tidak mengubah tujuan pra-kebenaran tersebut dan tiada perubahan kepada proses pendaftaran keluar
  3. Bank-bank Malaysia akan menolak transaksi tanpa PIN mulai 1 Julai 2017
Izinkan tetamu hotel untuk memasukkan PIN mulai sekarang bagi memudahkan penggunaan PIN dan mengurangkan gangguan pada 1 Julai 2017.